Protected by Copyscape Plagiarism Detector

12 April 2011

Sekolah Rendah!

Pada detik dan ketika ini jam sudah menunjukkan pukul 9.27am waktu Malaysia.Aku masih lagi buntu memikirkan nasib aku pada masa yang mendatang.Aku menjadi resah,bimbang,cemas.Kadang-kadang aku menjerit menyalahkan diriku kerana mengulangi kesilapan yang sama.

Aku masih ingat lagi pada ketika aku berada di alam persekolahan banyak pengalaman manis dan pahit aku lalui.Untuk meringkaskan cerita alam persekolahanku,aku bersekolah kampung di Kepala Batas,Pulau Pinang.Aku mengharungi darjah satu dengan keputusan yang agak sederhana.Aku masih ingat lagi pada peperiksaan akhir tahun aku mendapat tempat ke tujuh belas di dalam kelas.Kemudian,aku menjejaki darjah dua di mana aku masih lagi kekal di dalam kelas yang sama kerana pada waktu itu kedudukan kelas pertama dan seterusnya hanya ditentukan sebaik saja memasuki darjah tiga.

Darjah dua merupakan tahun yang banyak mengajarku untuk belajar.Aku masih lagi di takuk lama.Peperiksaan akhir tahun seperti biasa aku mendapat kedudukan yang biasa-biasa saja.Lantaran itu,aku terpaksa turun ke kelas kedua kerana kedudukan aku di dalam darjah agaklah teruk.Mama begitu memarahiku kerana kawan sepermainanku di kampung berjaya menempatkan diri di kelas yang pertama.Aku berasa sedih kerana membuat mama kecewa.

Pengalaman aku ketika di darjah dua dan satu memberikan aku perangsang untuk terus berjaya.Ketika aku darjah tiga,aku selalu mengingatkan diriku supaya berani bertanya cikgu sekiranya aku mempunyai masalah dalam memahami sesuatu pelajaran.Ya,aku agak malu ketika aku berada di darjah satu dan dua.Berbalik kepada isi pokok,aku juga selalu berpesan kepada hatiku untuk menjawab setiap soalan yang cikgu lontarkan  di dalam kelas.Akhirnya,tahap keyakinan diriku meningkat.Aku semakin bernafsu untuk belajar kerana strategi aku berjaya.Pada peperiksaan akhir tahun aku berjaya mendapat nombor tiga.Sungguhpun bukan berada pada kedudukan yang terbaik di dalam kelas,aku merasa puas dek kerana dengan keputusan itu melayakkan diriku untuk kembali ke kelas yang pertama.

Darjah 4 dan 5,aku hanya mengekalkan tempat di kelas yang pertama.Jika dilihat kepada keputusan peperiksaanku,ternyata keputusan yang ala kadar.Kedudukan yang di tengah-tengah.Nombor belasan sudah menjadi milikku pada ketika itu.Setibanya waktu aku melangkah ke darjah 6,aku telah dibasuh oleh mama dan baba supaya menggandakan usaha agar aku beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

Jadual harian persekolahan aku mudah.Pada pukul 7am aku akan berangkat ke sekolah dan waktu persekolahan akan berakhir pada pukul 1.15pm.Sebaik saja sesi persekolahan berakhir,aku akan bergegas pulang ke rumah yang terletak tidak berapa jauh dari sekolahku.Aku akan bersiap-siap untuk kembali ke sekolah kerana sesi tuisyen kelolaan sekolah bakal bermula.Tuisyen ini memakan masa selama satu jam setengah.Sudah pastinya berakhir pada jam 3pm.

Pada pukul 3pm pula,aku akan bergegas pulang ke rumah untuk bersiap-siap pergi ke sekolah agama.Di sekolah agama ini aku banyak belajar tentang ilmu-ilmu Islam seperti Tauhid,Sirah Nabi,Akhlak,Fekah dan macam-macam lagi.Waktu persekolahan di sekolah agama ini bermula dari pukul 3pm-6pm.

Sementara pada waktu malam pula,aku perlu menghadiri kelas tambahan kelolaan PIBG yang bermula pada pukul 8pm sehingga pukul 10pm.Jadual ini berlangsung selama berbulan-bulan.Aku masih lagi tidak percaya,aku boleh menyesuaikan diri dengan jadual yang padat sebegini.

Bagi aktiviti kokurikulum pula aku hanya melibatkan diri dalam sukan bola sepak,olahraga dan bola baling.Aku berjaya mewakili sekolah.Sedikit sebanyak dapat menyumbang keringat bagi nama sekolah.

Alhamdulillah,pada peperiksaan UPSR,aku beroleh kejayaan yang cemerlang dengan mendapat 5A.Aku bersyukur kepada Allah swt kerana memperkenankan doaku dan usahaku selama ini.Kedua ibu bapa ku turut gembira dengan keputusan ini.Seluruh keluargaku turut menumpang gembira.

Sebaik saja pulang ke rumah setelah mendapat keputusan UPSR,aku mula menyimpan angan-angan untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh.Namun,Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.Aku tidak mendapat apa-apa sebarang tawaran daripada pihak SBP.Namun,SMKA Al-Irshad menjadi destinasiku di alam menengah rendah.Sejak itu,aku memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS).

Itu saja buat kali ini.Aku akan menyambung cerita pengalamanku di sekolah menengah pada post yang akan datang.Kenangan sekolah rendah adalah kenangan yang mampu membuatkan kita tersenyum dengan tindak-tanduk kita yang memang kebudak-budakan.

No comments:

Post a Comment